IPOH - Orang ramai yang mengunjungi Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (Dun) Pasir Pinji antara 26 Mei hingga 2 Jun lalu serta mempunyai gejala, diminta untuk hadir ke pusat berkenaan bagi menjalani ujian saringan Covid-19 secara bersasar mulai esok dan Ahad ini. 

Ujian saringan ini dilakukan berikutan Pegawai Khas Dun Pasir Pinji  yang didapati positif Covid-19, baru-baru ini. 
 
Pengunjung yang mengimbas aplikasi MySejahtera boleh menyemak sejarah kehadiran mereka dan memaklumkan perkara itu melalui talian 016 - 450 9602 (Whatsapp) atau www.fb.com/howardlee.my (daftar melalui DM). 
 
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pasir Pinji, Howard Lee Chuan How berkata, operasi pusat khidmat itu diberhentikan sementara waktu sejak semalam bagi kerja-kerja pembersihan dan sanitasi. 
 
Tambahnya, ujian RTK Antigen ini dijalankan secara percuma dan keputusannya dijangka diperoleh dalam tempoh 24 jam serta akan dimaklumkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). 
 
"Menyedari bahawa ramai penduduk mengunjungi pusat khidmat kami dalam tempoh seminggu yang lepas dan Pegawai Khas saya yang didapati positif berkemungkinan besar dijangkiti penduduk setempat, kami mengambil langkah untuk menjalankan ujian saringan ini. 
 
"Oleh itu, kami dengan kerjasama Dr Mohammad Shukri Said dari Mediklinik Manjoi, akan mengadakan dua sesi saringan besar-besaran bersasar pada Sabtu dan Ahad ini mulai jam 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari," katanya menerusi Facebook Live pada hari ini. 
 
Beliau berkata, pengunjung yang hadir ke pusat khidmat tersebut tetapi tidak mengimbas MySejahtera, kakitangannya (sedang dikuarantin) masih giat menghubungi mereka yang mendaftar kehadiran diri secara bertulis. 
 
"Mereka yang mendaftar kehadiran secara bertulis akan kami tetapkan waktu dan tarikh yang bersesuaian untuk menjalani saringan tersebut," jelasnya. 
 
Menurutnya, sesi saringan bersasar itu adalah inisiatif pihaknya dan telah mendapat kelulusan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta kerjasama daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM). 
 
"Kesemua sukarelawan yang terbabit dalam program ini akan memakai sut peralatan perlindungan diri (PPE) lengkap dan mengikut segala prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan," ujarnya. 
 
Howard berkata, semua kakitangan pusat berkenaan sedang menjalani kuarantin di rumah manakala Pegawai Khasnya ditempatkan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).