KAMPAR - Seramai 102 orang penduduk Kampung Sahom menyahut saranan kerajaan apabila selesai menerima suntikan dos pertama vaksinasi Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Negeri Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata pihak kerajaaan begitu prihatin terhadap penduduk di luar bandar terutamanya di daerah pendalaman.

"Pemberian vaksin jenis Pfizer kepada 102 orang penduduk Kampung Sahom hari ini adalah anjuran pertama di bawah Program Outreach Daerah Kampar yang menyasarkan golongan warga emas.

"Pusat Pemberian Vaksin (PPV) pertama di Kampar mampu menampung kapasiti 500 dos suntikan vaksin sehari. Kita juga sedang menyediakan PPV kedua daerah Kampar iaitu di Kemas Gopeng yang akan beroperasi pada 1 Julai depan dengan pemberian 400 dos suntikan vaksin sehari.

"Program ini akan diteruskan ke serata pelusuk kampung serta di klinik kesihatan Kota Bharu dalam tempoh dua minggu lagi," katanya selepas mengadakan lawatan ke Program Outreach Daerah Kampar di Dewan Komuniti Sahom, di sini, hari ini.

Melalui maklumat suntikan vaksin daerah Kampar sehingga 11 Jun, menyasarkan 80 peratus dari jumlah penduduk seramai 85,450 dijadualkan menerima vaksin.

Menurutnya, pendaftaran bagi mendapatkan vaksin dalam kalangan masyarakat menerusi MySejahtera sehingga kini masih di bawah 50 peratus. Justeru, kerajaan negeri berharap pendaftaran ke atas masyarakat perlu dilakukan dengan segera.

"Kerajaan negeri telah mengambil beberapa inisiatif bagi meningkatkan kapasiti pemberian vaksin daripada 800 dos sehari kepada 15,000 dos sehari.

"Masyarakat terutamanya penduduk di daerah pendalaman diminta membuat pendaftaran melalui MySejahtera segera dan tidak perlu bimbang kerana vaksin ini selamat serta tiada membawa sebarang komplikasi yang memudaratkan," ujarnya.