IPOH – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) berjaya meraih tempat kesembilan daripada 20 penyertaan pihak berkuasa tempatan (PBT) pada peringkat akhir pertandingan Piala Inovasi Yang Berhormat (YB) Menteri Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang diumumkan hari ini.

Menteri KPKT, Zuraida Kamaruddin mengumumkan keputusan tersebut secara maya pagi tadi.

Kemenangan itu melayakkan MBI menerima hadiah geran KPKT bernilai RM25,000.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud berkata, Eze3@mbi adalah inovasi inventori pokok teduhan bagi seluruh kawasan MBI yang menggunakan peranti mudah alih ataupun telefon pintar.

Menurutnya, Eze3@mbi dibangunkan secara dalaman serta mendapat hakcipta intelek dan dijual kepada beberapa PBT dan institusi pengajian tinggi (IPT).

“Sebelum ini, inovasi Eze@mbi memenangi beberapa anugerah antaranya, Anugerah Kategori Hakcipta dengan pingat Perak bagi Anugerah Harta Intelek dan Anugerah Hijau, Malaysia Landscape Architecture Award.

“Sistem tersebut dijangka akan diperluaskan penggunaannya kepada penduduk di bandaraya Ipoh bagi aduan pokok, Perintah Pemeliharaan Pokok serta kajian khusus berkaitan flora bandaraya ini.

“Semoga inovasi ini akan membantu meningkatkan lagi perkhidmatan kepada warga kota melalui pangkalan data pokok teduhan serta penyelenggaraan pokok yang lebih terancang,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.