IPOH- Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dinobatkan pemenang tempat ksembilan dalam Pertandingan Piala Inovasi Yang Berhormat (YB) Menteri Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi kategori peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Malaysia, semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Negeri Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi mengucapkan tahniah kepada MBI di atas kemenangan tersebut dan ia akan menjadi suntikan semangat untuk terus menjadikan bandaraya Ipoh seiring dengan slogannya, Ipoh Bersih, Hijau dan Maju.

“Eze3@mbi adalah inovasi inventori pokok teduhan bagi seluruh kawasan MBI yang menggunakan peranti mudah alih ataupun telefon pintar.

“Sebelum ini, inovasi Eze3@mbi turut memenangi anugerah kategori hakcipta dengan pingat perak bagi Anugerah Harta Intelek dan Anugerah Hijau, Malaysia Landscape Architecture Award.

“Semoga inovasi ini akan dapat meningkatkan lagi perkhidmatan kepada warga kota melalui pangkalan data pokok teduhan serta penyelenggaraan pokok yang lebih terancang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sistem ini dibangunkan secara dalaman dan telah mendapat hakcipta intelek dan dijual kepada beberapa PBT dan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) serta akan disebarluas penggunaannya kepada warga kota untuk sebarang aduan pokok, perintah pemeliharaan pokok dan kajian khusus berkaitan flora di sekitar bandaraya Ipoh.

MBI juga memenangi tempat kelapan di peringkat kategori Majlis Bandaraya/Perbandaran bersama wang tunai RM500 dan keseluruhan tempat kesembilan membawa pulang RM25,000 berupa geran KPKT sebagai hadiah pertandingan tersebut.

Sementara itu, Majlis Daerah Kampar (MDKpr) memenangi tempat kedua bagi Kategori Majlis Daerah dan tempat ke-16 bagi keseluruhan daripada 52 PBT yang menyertai pertandingan itu. 

Pengumuman tersebut disampaikan oleh Menteri Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Zuraida Kamaruddin secara maya semalam.