IPOH - Pelbagai bentuk bantuan disalurkan Parlimen Tambun kepada tiga lokaliti yang terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sejak dilaksanakan bermula 6 Jun lalu. 

Tiga lokaliti tersebut adalah Kampung Dato' Ahmad Said Tambahan 2, Kampung Jelapang Baru dan Kampung Sungai Tapah.
 
Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, hari ini sukarelawan di parlimen berkenaan menjalankan penghantaran makanan secara serentak di ketiga-tiga kawasan tersebut. 
 
Katanya, sebanyak 10,000 roti pelbagai jenis diedarkan buat rakyat yang memerlukan.
 
Beliau berkata, sebelum ini pihaknya telah mengedarkan makanan asas seperti beras, susu, kopi dan telur.
 
Tambahnya, bantuan lain seperti susu dan lampin pakai buang juga turut diberikan kepada keluarga yang membuat permohonan untuk mendapatkan keperluan tersebut.
 
Ahmad Faizal memaklumkan perkara tersebut melalui hantaran di laman Facebook miliknya hari ini.
 
Justeru beliau berharap, bantuan yang diberikan itu dapat meringankan beban penduduk di situ serta mendoakan segala urusan pemberian bantuan yang dijalankan sepanjang pandemik Covid-19 dipermudahkan. 
 
Bagi penduduk di Parlimen Tambun yang memerlukan bantuan segera akibat terjejas disebabkan pandemik ini boleh menghubungi hotline 011-3201 0000.