IPOH – Walaupun pada cuti hujung minggu, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) tidak pernah berhenti menyalurkan bantuan kepada warga kota yang memerlukan di sekitar bandaraya ini.

Ahli Majlis MBI Zon 1 (Hulu Kinta), Datuk Mazlan Abd Rahman meluangkan masa menyantuni ahli Kelab Pesara Tentera Tanjung Damai yang menetap di sekitar Taman Tanjung Damai, Tanjung Rambutan dan Kampung Tersusun Batu 4, Bandar Baru Tambun, di sini, hari ini.

Seramai 75 orang menerima sumbangan barangan keperluan asas serta pelitup muka untuk kegunaan harian.

Menurut Mazlan, pihaknya sentiasa prihatin dengan mereka yang menghadapi kesulitan terutamanya sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

“Kita kenal pasti mereka yang memerlukan bantuan dan merealisasikannya melalui program Ziarah Kasih MBI Prihatin.

“Selain barangan keperluan asas, kita turut memberikan pelitup muka yang diharap dapat membantu membasmi penyebaran pandemik Covid-19.

“Semoga dengan sumbangan ini dapat meringankan sedikit sebanyak beban yang ditanggung oleh penerima-penerima pada hari ini,” jelasnya.