IPOH – Sejak pandemik Covid-19 melanda negara, ramai yang hidup ibarat ‘kais pagi makan pagi, kais petang, makan petang’ akibat kehilangan punca pendapatan.

Menyedari nasib yang menimpa golongan tersebut, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tampil untuk membantu mereka yang terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Hari ini, Persatuan India Muslim Perak (PRIM) dengan kerjasama, Parti Perikatan India Muslim Malaysia (IMAN), Persekutuan Pertubuhan India Muslim Malaysia (Permim) dan Ariff Frozen Food turun padang memberikan sumbangan barangan keperluan dapur kepada 30 keluarga di Taman Desa Pelancongan, di sini.

Pengerusi PRIM, Mohamed Arib Aliah berkata, sumbangan ini diberikan kepada golongan asnaf yang kehilangan pekerjaan sewaktu pandemik ini berlaku.

“Penerima bantuan adalah terdiri daripada mereka yang hilang punca pendapatan akibat syarikat yang terpaksa ditutup kerana tidak mampu menanggung beban kos disebabkan pelaksanaan PKP,” jelasnya.

Beliau berkata, PRIM akan meneruskan usaha memberi sumbangan dari semasa ke semasa kepada golongan yang memerlukan ini.

“Kita mula menyampaikan bantuan sejak Mac tahun lalu dan sehingga kini kira-kira 2,600 keluarga telah menerima bantuan tersebut.

“Sehubungan itu, kita berharap agar pemberian sumbangan ini dapat diteruskan supaya dapat meringankan beban mereka yang memerlukan,” ujarnya.