IPOH – Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Prihatin Perak antara yang bergiat aktif turun padang melaksanakan tanggungjawab mereka dengan membantu semua golongan yang memerlukan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Antara NGO yang berada di bawah gabungan itu termasuklah Persatuan India Muslim Perak (PRIM), Malaysian Hindu Sangam Perak, Puteri Islam Perak, Yayasan Addin, Teduhan Kelana, Rumah Ngaji, Pertubuhan Rakan Komuniti Pendidikan Perak (PRKPP) dan Kelab Rotary Ipoh Selatan (KRIS).

Pengerusinya, Prof Dr Richard Ng berkata, NGO yang bernaung di bawah gabungan ini, tidak pernah putus-putus menyalurkan bantuan kepada pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa dan agama sama ada dalam kalangan barisan hadapan, golongan B40, warga emas, ibu tunggal, orang kelainan upaya (OKU) serta gelandangan.

Menurutnya, daripada 25 buah NGO dalam gabungan tersebut, hampir separuh daripadanya telah menghulurkan bantuan kepada lebih daripada 5,000 keluarga yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

“Setiap NGO menghulurkan pelbagai jenis bantuan seperti pelitup muka, pelindung muka, cecair pensanitasi tangan, makanan dan minuman, barangan keperluan dapur, pakaian terpakai, lampin pakai buang, susu dan kerusi roda

“NGO terbabit turut berusaha menjejak golongan yang memerlukan dan menyalurkan bantuan mengikut kemampuan masing-masing,” katanya kepada Peraktastic.

Richard yang juga Pengerusi Lions Club of Perak Silver State dan Pengerusi  Ipoh City Watch turut menyumbang pelitup muka, cecair pensanitasi tangan, barangan keperluan dapur serta makanan yang telah dimasak dan dibungkus kepada lebih 1,000 keluarga terjejas di sekitar Pasir Pinji, Rumah Pangsa Kinta Heights dan Rumah Pangsa Waller Court.

“Pada masa sama, kami juga turut mengesan warga emas dan OKU yang terputus  bekalan makanan untuk dibantu.

“Bagaimanapun, bantuan yang disampaikan adalah terhad memandangkan sumbangan yang diperolehi adalah daripada syarikat korporat dan ahli kami sendiri,” jelasnya yang turut bekerjasama dengan Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPP) dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) untuk tujuan menjejaki mereka yang memerlukan bantuan.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, pihaknya amat peka terhadap pendidikan anak-anak golongan B40 yang perlu mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) serta bergantung kepada peranti dan capaian internet.

“Justeru, PRPKP mengambil inisiatif mengagihkan buku-buku bacaan untuk murid sekolah rendah serta mengajar tuisyen secara atas talian manakala KRIS membantu menyediakan peranti kepada pelajar miskin,” ujarnya.

Ahli Majlis Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) Zon 14 (Pasir Pinji) yang dilantik mewakili NGO itu juga berasa bertuah kerana melalui program MBI Prihatin, pihak berkuasa tempatan (PBT) terbabit sama-sama berganding bahu memberi  bantuan sama ada dalam bentuk wang atau sumbangan pek makanan untuk disalurkan kepada warga kota yang memerlukan.

“Sehubungan itu, kami amat berterima kasih kepada Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud, serta syarikat korporat seperti  Kuala Lumpur Kepong Berhad, Bonanza Venture Holdings Sdn Bhd serta Perak Foodbank di atas sumbangan yang diberikan,” katanya.

Beliau menganggarkan lebih 80,000 keluarga terkesan akibat pandemik Covid-19 kerana hilang punca pendapatan dan pekerjaan serta termasuk 10 peratus golongan M40 yang kini menjadi B40.

“Jika PKP berterusan sehingga Oktober ini sepertimana yang dinyatakan dalam Pelan Pemulihan Negara, maka kami memohon supaya syarikat korporat tampil untuk sama-sama membantu menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban mereka yang memerlukan,” jelasnya.