IPOH - Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) melalui MBI Prihatin sentiasa menyalurkan bantuan dalam pelbagai bentuk kepada warga kota yang terkesan berikutan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0. 

Terbaru, Ahli Majlis MBI Zon 20 (Menglembu), Mahader Ahmad Mohammad Ayob bersama Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPP) Zon Menglembu menyampaikan sumbangan barangan keperluan dapur kepada 300 penerima.
 
Penerima bantuan adalah penduduk di sekitar kawasan Taman Impiana Adril, Kampung Baru Bukit Merah, Menglembu Regrouping Area, Menglembu Timur dan Lahat.
 
Mahader Ahmad berkata, pemberian pek makanan ini adalah inisiatif MBI untuk membantu mengurangkan beban yang dipikul warga Ipoh akibat pandemik tersebut. 
 
"Sehubungan itu, kami akan memastikan golongan yang berkelayakan akan mendapat bekalan makanan dalam tempoh PKP ini," ujarnya.
 
 
Sementara itu, seorang lagi Ahli Majlis MBI Zon 14 (Pasir Pinji), Prof Dr Richard Ng turut menyampaikan bantuan keperluan dapur kepada penduduk terjejas di sekitar bandaraya ini melalui MBI Prihatin.
 
Katanya, pihaknya yang bekerjasama dengan Persatuan Kebajikan Sejati Warga Perak berjaya mengesan kira-kira 820 keluarga di Ipoh yang terjejas akibat pandemik Covid-19. 
 
"Kami akan terus berusaha menjejak mereka yang benar-benar memerlukan bantuan supaya tidak terpinggir dan menerima bantuan sewajarnya," ujarnya. 
 
Beliau juga menzahirkan ucapan terima kasih kepada tim JPP yang terdiri daripada S Pandian, S Thinakaran dan Stanley Nelson yang bersama-sama berganding bahu menjejak golongan yang
memerlukan bantuan.