IPOH – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) melanjutkan pengecualian sewaan selama satu bulan lagi kepada 824 peniaga di Pasar Besar Ipoh membabitkan peruntukan sebanyak RM20,000.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud mengumumkan perkara itu dalam ucapannya sewaktu mempengerusikan Mesyuarat Penuh Majlis Bulan Jun, di Dewan Mesyuarat MBI, di sini, hari ini.

“Sukacita dimaklumkan berikutan pemanjangan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, maka MBI akan melanjutkan lagi sebulan pengecualian sewa kepada peniaga-peniaga di Pasar Besar Ipoh.

“Pengecualian sewa bagi bulan Julai ini akan melibatkan seramai 824 peniaga  dengan impak kewangan sebanyak RM20,000.

“Adalah diharapkan dengan pengecualian tambahan ini akan memberikan kelegaan kepada para penyewa premis yang terkesan dan membolehkan mereka untuk membuat perancangan semula perniagaan yang terjejas dengan sewajarnya ” ujarnya.

Sebelum ini, MBI telah memberikan pengecualian empat bulan bayaran sewa kepada peniaga-peniaga di Pasar Besar Ipoh dan peniaga-peniaga di Medan-Medan Selera di bawah urus selia pihak berkuasa tempatan tersebut.

Pengecualian sewa yang diberikan dari Mac hingga Jun itu membabitkan lebih 1,000 peniaga dengan anggaran peruntukan kira-kira RM80,000.