IPOH - Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) melalui program MBI Prihatin menyampaikan 140 pek makanan kepada lima wakil MBI hari ini. 

Sumbangan disampaikan Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud di Bilik Bunga Raya di sini. 
Pek makanan tersebut adalah hasil sumbangan MBI, Koperasi MBI Berhad dan Pasaraya Econsave. 
 
Program ini turut dihadiri Pengarah Kanan (Pentadbiran dan Operasi) MBI, Musa Dun; Bendahari, D Visvanathan dan Penolong Setiausaha Kehormat Koperasi Pekerja-pekerja MBI Berhad, S Manisegaran. 
 
 
Sementara itu dalam perkembangan lain, Rumaizi turut menyampaikan sumbangan barangan makanan bernilai RM250 daripada Pasaraya Econsave kepada Norzazali Mohamad. 
 
Hadir sama, Pengurus Besar Bahagian Utara 2 Econsave, Chua Yong Chiang dan Pengurus Econsave Cawangan Jelapang, Shah Effendy Rosman. 
 
Rumaizi berkata, sumbangan ini akan diadakan dari semasa ke semasa bagi membantu mereka yang terkesan ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) itu  
 
"Semoga sumbangan bantuan ini dapat meringankan beban warga MBI dan penduduk di bandaraya Ipoh di dalam tempoh PKP," ujarnya.