IPOH - Inisiatif Majlis Belia India Malaysia (MIYC) Cawangan Tambun mewujudkan 'Google Form' untuk membolehkan masyarakat membuat permohonan untuk mendapatkan bantuan kotak makanan mendapat sambutan hangat. 

Pengerusinya, K Dinesh berkata, selain permohonan melalui borang tersebut pihaknya juga mendapat informasi daripada aplikasi Whatsapp dan maklumat daripada orang awam berhubung mereka yang memerlukan bantuan segera. 

Menurutnya, program bantuan kotak makanan ini turut mendapat kerjasama daripada Pusat Khidmat Ahli Parlimen Tambun yang bersama-sama menyalurkan sumbangan kepada pihaknya untuk disampaikan kepada rakyat terjejas ekoran pandemik Covid-19. 

"MIYC Cawangan Tambun ingin mengucapkan terima kasih kepada Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang telah banyak menghulurkan pelbagai jenis bantuan serta memberi kepercayaan kepada kami untuk menyalurkannya kepada golongan B40 dan rakyat kurang berkemampuan khususnya di kawasan Parlimen Tambun," katanya kepada Peraktastic. 

Katanya, mereka turut membantu berkongsi maklumat jika terdapat peluang pekerjaan yang ditawarkan secara dalam talian supaya rakyat yang kehilangan punca pendapatan boleh cuba untuk memohon mendapatkan pekerjaan baru. 

"Kami juga ada membantu ibu tunggal dengan berkongsi maklumat perniagaan secara drop ship, supaya mereka boleh peroleh pendapatan bagi menampung kehidupan harian," ujarnya. 

Sehubungan itu, beliau berharap pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Perak dapat bekerjasama dengan pihaknya bagi meneruskan misi membantu rakyat yang terkesan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) demi kesejahteraan bersama. 

Semalam, beliau telah menyampaikan sumbangan kotak makanan kepada 20 keluarga terdiri daripada ibu tunggal, bapa tunggal, orang kelainan upaya (OKU), mereka yang tiada sumber pendapatan tetap dan warga emas di sekitar Parlimen Tambun. 

Hadir sama menyampaikan bantuan, Pegawai Penyelaras Pusat Khidmat Parlimen Tambun, Megat Shahril Redzuan.