IPOH - Seramai 30 orang petugas media daripada pelbagai agensi yang terdiri daripada wartawan dan jurukamera sambilan telah menerima sumbangan berbentuk barang-barang keperluan harian daripada syarikat minuman Boba Tea Sdn Bhd (Daboba) dan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) di sini hari ini.

Sumbangan ini bagi meringankan beban para penerima yang sedikit sebanyak turut terkesan dengan pandemik Covid-19 selain sebagai tanda penghargaan atas tugas yang dilaksanakan sebagai pelapor.

Gimik penyerahan telah disempurnakan oleh Datuk Bandar, Datuk Rumaizi Baharin kepada Presiden Kelab Sukan dan Kebajikan Media Perak, Rosli Mansor Ahmad Razali di hadapan Dewan Mesyuarat MBI.

Pada majlis sama, MBI dan Daboba turut menyampaikan sumbangan serupa kepada wakil peniaga Gerbang Malam bagi pihak 125 orang peniaga manakala 30 pek bekalan makanan kering pula kepada lima wakil petugas MBI.

Sementara itu, Pengarah Boba Tea Sdn Bhd, Jordan Choong Jun Meng berkata, pihaknya sangat berbesar hati apabila dapat bersama-sama dengan MBI membantu golongan yang memerlukan.

Katanya, program yang julung-julung kali diadakan itu akan diteruskan pada masa akan datang demi memastikan golongan yang terkesan dapat dibantu.

“Boba Tea Sdn Bhd (Daboba), MBI dan Kelab Sukan dan Kebajikan Media Perak bekerjasama untuk menyampaikan sumbangan keperluan asas kepada mereka yang terkesan akibat dari covid 19.

“Kita sangat berbesar hati dapat menjalinkan kerjasama ini serta membantu warga Ipoh kerana Daboba adalah jenama lokal dari Ipoh,” ujarnya.