Mengekalkan kelestarian alam sekitar memerlukan tindakan secara kolektif bagi memastikan kestabilan ekosistem sentiasa terpelihara khususnya di era globalisasi ini.

Sebagai langkah mengelakkan sebarang implikasi terhadap kesejahteraan sejagat itu, Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc. Perak) menerusi tanggungjawab sosial korporat (CSR) memperuntukkan RM1.2 juta bagi melaksanakan program Eco-Schools.

Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc. Anuar Zainal Abidin berkata, penglibatan golongan pelajar menerusi program itu mampu menyuntik kesedaraan awal akan kepentingan kelestarian alam sekitar.

“Program ini merupakan sebahagian daripada tiga teras utama CSR MB Inc. yang memfokuskan kepada sosial, pendidikan dan alam sekitar. Ia sedang dilaksanakan secara berperingkat membabitkan Sekolah Kebangsaan, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), Sekolah Orang Asli dan Sekolah Menengah.

“Bermula tahun 2021 hingga 2022, sebanyak 20 buah sekolah telah dipilih bagi menjayakan program Eco-Schools Fast Track. Manakala 30 buah sekolah lagi bakal terlibat selama tiga tahun sehingga 2023. Kami menyasarkan penglibatan 50 buah sekolah iaitu 31 buah sekolah rendah dan 19 buah sekolah menengah menjelang tahun 2023.

“Program Eco-Schools selaras dengan titah ucapan Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang inginkan tanggungjawab merimbunkan kehijauan di seluruh negeri dipikul oleh semua lapisan rakyat. Ia juga sejajar dengan usaha Kerajaan Negeri melalui usaha Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad dalam memperhebatkan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar menerusi Kempen Perak Bumi Lestari,” katanya dalam satu kenyataan.

Program Eco-schools adalah inisiatif daripada MB Inc. dengan jalinan kerjasama Green Growth Asia Foundation (GGAF) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) untuk memastikan matlamat asal dapat dilaksanakan dengan jaya.

Memetik dari satu kenyataan Timbalan Pengarah Pendidikan, Sektor Pembangunan Murid, Aznan Alias berkata program berkenaan mampu meningkatkan kemenjadian pelajar sekolah seiring dengan perkembangan semasa.

“Melalui Eco-Schools, para pelajar didedahkan kepada elemen 3K iaitu kebersihan, kesihatan dan keselamatan serta 3R iaitu Reduce (Pengurangan), Reuse (Penggunaan Semula) dan Recycle. Turut juga diketengahkan elemen Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

“Generasi muda seharusnya senantiasa didedahkan dengan kepentingan nilai alam sekitar kerana golongan tersebutlah yang akan mewarisi alam ini kelak,” tegasnya.