IPOH - Lion Clubs of Perak Silver State amat prihatin terhadap golongan kurang berkemampuan serta memastikan tiada dalam kalangan mereka yang berlapar dan terpinggir terutamanya sewaktu pandemik Covid-19. 
 
Presidennya, Dr Richard Ng berkata, sebanyak 200 pek makanan tengah hari termasuk air mineral dan kit penjagaan diri diagihkan secara percuma kepada golongan tersebut di Bercham, hari ini. 
 
Katanya, Bercham adalah antara kawasan yang paling ramai penduduk dan 30 peratus daripadanya terdiri daripada golongan kurang berkemampuan.  
 
"Pemberian pek makanan yang membabitkan tiga restoran sekitar Bercham ini diadakan buat kali yang keempat sejak ia mula dilaksanakan pada Julai lalu. 
 
"Kita turut mendapat kit penjagaan diri yang disumbangkan dua syarikat untuk diedarkan kepada mereka yang datang pada hari ini," ujarnya kepada Peraktastic. 
 
Beliau ditemui ketika mengedarkan sumbangan tersebut di hadapan Restoran Heng Kee, Bercham tengah hari tadi. 
 
Richard turut menyampaikan sumbangan barangan makanan asas kepada beberapa penduduk Bercham yang terkesan ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). 
 
Sementara itu, anak sulung kepada pemilik Restoran Heng Kee, Tan Meng Hong, 37, berkata walaupun perniagaan terjejas akibat pelaksanaan PKP namun itu tidak menghalang mereka untuk memasak dan memberi makanan percuma kepada golongan yang memerlukan. 
 
Dia berharap agar pandemik Covid-19 berakhir segera supaya mereka dapat meneruskan perniagaan seperti sedia kala. 
 
Tinjauan Peraktastic di lokasi mendapati penganjur program mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan setiap individu akan disanitasi oleh pihak restoran terlebih dahulu sebelum dibenarkan untuk mengambil makanan. 
 
Persatuan Keselamatan Sukarela Kawasan Bercham (PKSKB) juga turut berkawal di kawasan terbabit bagi memastikan prorram berjalan lancar dan pengagihan sumbangan selesai hanya dalam tempoh 30 minit.