IPOH - Frontliner atau petugas barisan hadapan adalah golongan yang perlu berhadapan dengan cabaran tanpa mengira waktu ketika penularan Covid-19 melanda negara ini. 
 
Menyedari hakikat itu, Ahli Majlis Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) Zon 1 (Hulu Kinta), Datuk Mazlan Abd Rahman mengambil inisiatif mengedarkan Vitamin C kepada petugas barisan hadapan di empat lokasi sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kinta, hari ini. 
 
Lokasi tersebut adalah di sekatan jalan raya (SJR) Plaza Tol Ipoh Selatan arah utara; Balai Polis Tambun; Balai Polis Tanjung Rambutan dan Balai Polis Tanah Hitam. 
 
Mazlan berkata, sebanyak 74 botol Vitamin C diagihkan kepada petugas barisan hadapan terbabit dan setiap botol mampu bertahan selama dua bulan. 
 
Katanya, pihaknya memilih untuk memberikan sumbangan Vitamin C kerana ia berperanan sebagai antioksidan dan membantu dalam meningkatkan daya tahan badan daripada penyakit berjangkit.
 
"Penggunaan Vitamin C ini diharap dapat membantu petugas barisan hadapan dari segi ketahanan diri serta mengurangkan peratus jangkitan Covid-19," katanya ketika ditemu bual Peraktastic pada Selasa. 
 
Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintenden Mohamad Nordin Abdullah. 
 
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut bercadang untuk memberi sumbangan Vitamin C kepada penduduk di sekitar DUN Hulu Kinta. 
 
"Jika ada rezeki lebih, kita akan memberikan sumbangan Vitamin C ini kepada masyarakat di DUN Hulu Kinta secara bersasar," jelasnya. 
 
Terdahulu, Mazlan bersama Mohamad Nordin menyampaikan sumbangan Vitamin C kepada Pembantu Penyelia, Lans Korperal Mohd Ridzuan Mohd Yassin (SJR Plaza Tol Ipoh Selatan arah Utara); Ketua Balai Polis Tambun, Inspektor Josin Amatin; Ketua Balai Polis Tanjung Rambutan, Sub Inspektor Mohd Asri Sadli dan Penolong Ketua Balai Polis Tanah Hitam, Sarjan Tarmizi Aziz.