IPOH – Siapa sangka hantaran video yang memaparkan tindakan berani seorang wanita menangkap anak ular sawa batik dengan hanya menggunakan tangan berjaya meraih 1.3 juta tontonan dalam tempoh kurang 24 jam selepas dimuat naik di aplikasi TikTok.

Setakat ini, video berdurasi 14 saat itu mendapat lebih 73,000 tanda suka dan 1,793 komen sejak dimuat naik pada Jumaat.

Aksi wanita berkenaan yang dikenali sebagai Noor Arifah Mohamad Yusop, 30 itu dirakamkan rakannya Ahmad Azraei pada pagi Khamis lalu sebelum memuat naik ke akaun TikTok @azra311.

Sewaktu kejadian, Noor Arifah yang juga Pembantu Penguatkuasa Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) sedang menjalankan tugas di Pasar Besar Ipoh sebelum menerima panggilan daripada rakan setugas berhubung penemuan ular itu.

Sekitar jam 9.45 pagi dia bergerak ke lokasi yang dimaklumkan dan ular tersebut ditemui di dalam longkang berhampiran Arena Tenis Perak yang kini dijadikan lokasi untuk menjalani ujian calitan Covid-19 di sini.

“Sejurus tiba di lokasi, saya diberitahu anak ular sawa batik itu sudah berada di dalam longkang dan lebih kurang lima minit saya berjaya menangkapnya dengan selamat,” katanya ketika dihubungi Peraktastic, semalam.

Sebelum itu, rakannya memberitahu bahawa reptilia itu dipercayai terjatuh ke atas jalan daripada bahagian bawah salah sebuah kenderaan yang sedang beratur untuk ke Arena Tenis Perak.

Ditanya bagaimana dia mendapat keberanian sedemikian untuk melakukan perkara tersebut, ibu kepada seorang anak lelaki ini memberitahu dia dan suaminya, Safwan Azim Shukri, 27, berkongsi minat yang sama terhadap haiwan eksotik.

Pada November 2018, Noor Arifah dan suaminya tular apabila menjadikan ular peliharaan sebagai prop pada sesi fotografi perkahwinannya di Taman Rekreasi D R Seenivasagam.

Sesi fotografi yang dijayakan jurugambar Shaherwan Ab Wahab itu membabitkan tujuh ekor ular spesies Ball Python dan Burmese Python serta seekor burung kakak tua.

Sementara itu, MBI melalui laman sosial medianya menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Noor Arifah yang begitu prihatin serta komited menjalankan tanggungjawabnya sebagai penjawat awam walaupun di luar skop kerja.

“Tindakan beliau yang amat prihatin dalam memastikan keselamatan orang awam dengan membantu menangkap seekor ular di longkang bagi menyelamatkan pengguna jalan raya di lokasi tersebut dari sebarang kemalangan amatlah dikagumi.

“Inilah sikap warga MBI yang patut dicontohi oleh seluruh wargakota Ipoh dalam memastikan Ipoh menjadi sebuah bandar raya yang harmoni serta sejahtera untuk semua,” jelas kenyataan berkenaan.