IPOH - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Perak berjaya merampas dua tan durian kampung dari Thailand yang cuba dibawa masuk ke sini.

Ia hasil pemeriksaan pada sebuah lori yang melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Pengkalan Hulu, Gerik. semalam.

MAQIS dalam satu kenyataan berkata, dalam pemeriksaan pada pukul 3 petang itu pihaknya mendapati  buah-buahan itu tidak mematuhi syarat import.

Menurut kenyataan itu, syarat import 3P yang ditetapkan MAQIS ialah pelabelan, pengredan dan pembungkusan.

"Kesemua buah-buahan tersebut yang bernilai kira-kira RM7,000 ditahan untuk siasatan lanjut.

"Tindakan melanggar syarat import merupakan suatu kesalahan mengikut Seksyen 15(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728]," ujar kenyataan tersebut.

 Sekiranya sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM100,000, penjara atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 15(2) akta yang sama.