IPOH – Semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak yang menghadiri Sidang Dewan Negeri yang berkahir Isnin lalu dikehendaki menjalani kuarantin kendiri selepas seorang daripada mereka disahkan positif Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Mohd. Akmal Kamarudin berkata, wakil rakyat kerajaan itu disahkan positif selepas menjalani ujian saringan Polymerase Chain Reaction (PCR) Covid-19.

Menurut beliau, individu tersebut mula mengalami simptom demam sejak malam kelmarin sebelum menjalani ujian PCR bagi tujuan pengesahan.

“Ujian PCR menunjukkan ADUN berkenaan disahkan positif dan dengan keputusan itu, semua yang terlibat pada Sidang DUN Isnin lalu telah diarahkan menjalani kuarantin diri bermula semalam bagi tujuan keselamatan.

“Arahan ini termasuklah kepada Speaker, petugas Dewan dan semua pegawai khas ADUN yang berada dalam Dewan Negeri,” katanya dalam satu kenyataan.

Sidang DUN Perak berlangsung selama empat hari bermula 25 Ogos lepas hingga kelmarin dengan mengguna konsep gelembung selepas mengambil kira situasi semasa penularan pandemik Covid-19.