IPOH - Gerbang Malam bakal berubah wajah dan dijangka akan menjadi tarikan pelancong apabila struktur teduhan (bumbung) sepanjang 180 meter yang bernilai RM2.8 juta dijadualkan siap menjelang 8 Mac 2022.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud berkata, kerajaan negeri meluluskan peruntukan sebanyak RM2.6 juta untuk pembinaan bumbung itu manakala baki RM200,000 adalah daripada Majlis Bandaraya Ipoh (MBI). 
 
Menurutnya, MBI sudah melantik kontraktor untuk menjalankan kerja-kerja menaik taraf dan penyelenggaraan infrastruktur di kawasan tersebut bermula 1 Jun lalu. 
 
"Bagaimanapun, kerja-kerja itu dijalankan sedikit lewat akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan disebabkan pandemik Covid-19," jelasnya pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Gerbang Malam, malam tadi. 
 
Hadir sama, Ketua Penolong Pengarah Kejuruteraan (Kerja dan Bangunan) MBI, Arif Mohd Zainudin; Penolong Jurutera (Kerja dan Bangunan) MBI, Roslay Abd Rahman dan Pengerusi Persatuan Kebajikan Usahawan Gerbang Malam (PKUGM), Ahmad Irwan Othman. 
 
Rumaizi berkata, sebanyak lima kipas besar (helifan) turut dipasang di bawah bumbung sepanjang jalan terbabit. 
 
"Selain projek pemasangan bumbung, MBI turut menaik taraf 55 gerai di Medan Selera Dato' Tahwil Azar (Taman Kanak-kanak) dengan kos RM RM850,000 membabitkan peruntukan daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sebanyak RM750,000 manakala bakinya daripada MBI.
 
"Justeru, jumlah keseluruhan peruntukan yang digunakan bagi menaik taraf infrastruktur di kawasan berkenaan adalah sebanyak RM3.65 juta.
 
"Sehubungan itu, kita berharap kawasan ini akan menjadi salah satu tempat tarikan pelancong. Pada 1 November ini Pulau Pangkor dijangka akan dibuka di bawah gelembung pelancongan.
Kalau kita boleh buka hujung tahun atau awal tahun depan (kemasukan pelancong) kita sudah bersedia," jelasnya. 
 
 
Menyentuh mengenai Gerbang Malam yang dibenarkan beroperasi semula Rabu lalu, Rumaizi berkata, setakat ini MBI hanya membenarkan penggiliran 120 peniaga mengikut nombor genap (60 peniaga) dan ganjil (60 peniaga) menjalankan perniagaan barangan am, barangan terpakai, kasut, baju, kosmetik, perhiasan wanita dan lain-lain di Gerbang Malam yang menjadi antara tarikan di bandaraya Ipoh sepanjang tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 2.
 
"Bagaimanapun, perkhidmatan refleksologi dan uji cuba bagi jualan kasut dan pakaian tidak dibenarkan beroperasi dalam tempoh PPN ini.
 
"Selain itu, setiap gerai yang dibenarkan beroperasi perlu berjarak tiga meter antara satu sama lain bagi memastikan penjarakkan sosial untuk mengelak penularan wabak Covid-19.
 
"Pengunjung yang memasuki kawasan ini juga perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti mengambil suhu badan, memakai pelitup muka dan mengikut aliran jalan yang telah ditentukan oleh MBI," jelasnya yang memaklumkan Gerbang Malam ditutup selama hampir empat bulan sejak 1 Jun lalu. 
 
Tambahnya, MBI tidak menggalakkan warga emas dan kanak-kanak di bawah usia 12 tahun untuk mengunjungi kawasan berkenaan kerana mereka adalah golongan berisiko dijangkiti Covid-19.
 
"Justeru, kita berharap supaya pengunjung sentiasa peka dan tidak mengambil mudah setiap SOP yang ditetapkan walaupun pelbagai kelonggaran telah diberikan oleh kerajaan sepanjang tempoh PPN ini.
 
"Semoga pembukaan semula Gerbang Malam ini akan membantu peniaga menjana semula pendapatan dan memulihkan ekonomi di negeri ini," ujarnya yang memberitahu waktu operasi Gerbang Malam bermula dari jam 6 petang sehingga 10 malam.