KUALA KANGSAR – Sepasukan anggota polis daripada Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Kangsar telah menahan tiga lelaki dipercayai terlibat dalam kegaiatan penyalah gunaan dadah dalam serbuan di sebuah rumah di Chandan Putri di sini semalam.

Identiti ketiga-tiga mereka disahkan sebagai seorang pengarah, penolong pengarah dan pelakon sebuah syarikat produksi berumur dalam lingkungan 20an hingga 40an.

Ketua Polis negeri, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, tiga lelaki tahun itu ditahan dalam serbuan di sebuah inap desa pada pukul 7.15 pagi.

Menurut beliau, dalam serbuan itu polis menjumpai dadah jenis ganja seberat 1.45 gram (g) dan syabu seberat 0.38g.

“Turut ditemui ialah sebuah botol plastik yang telah diubahsuai untuk kegunaan menghisap dadah.

"Nilai pasaran keseluruhan dadah yang dirampas berjumlah RM270," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut beliau, ujian saringan air kencing yang dijalankan mendapati pelakon dan pengarah positif dadah jenis THC manakala penolong pengarah pula positif methamphetamine.

Katanya, pemerikaaan lanjut juga mendapati seorang daripada mereka mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan jenayah dan dadah.

“Tangkapan ini juga hasil kerjasama masyarakat dengan polis dalam usaha mengekang kegiatan dadah.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2), Seksyen 6 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan hukuman penjara dan denda boleh dikenakan jika sabit kesalahan," katanya.