IPOH - Kerajaan negeri melalui Tourism Perak juga telah merancang dan melaksanakan beberapa program pemulihan bagi meyakinkan semula pelancong untuk ke negeri ini sekali gus merancakkan kembali industri tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi berkata, ini termasuk mengadakan program kerjasama strategik bersama Kerajaan Persekutuan melalui Tourism Malaysia bagi menyediakan pakej-pakej pelancongan.

Menurut beliau, pelaksanaan itu melibatkan hotel-hotel dan resort bagi empat negeri di utara seperti Perlis, Kedah, Pulau Pinang termasuk Perak yang telah dilaksanakan pada 16 November lalu di Hotel Excelsior Ipoh yang mana Perak telah diberi penghormatan menjadi hos.

“Promosi dan pemasaran secara digitalisasi juga menjadi platform utama dalam mempromosikan negeri Perak termasuk hotel-hotel seperti penggunaan Facebook, TikTok, Twitter dan sebagainya.

“Program-program promosi dan pemasaran juga akan melibatkan Key Opinion Leader (KOL), media influencer yang mampu menarik orang ramai terutama followers influencer tersebut untuk datang ke Perak,” ujarnya pada Sidang DUN di sini.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan lisan ADUN Mengglembu, Cham Kaw Foon berhubung apakah langkah yang diambil kerajaan negeri bagi merancakkan kembali sektor pelancongan di Perak.

Selain daripada itu jelas Nolee, program-program mempromosikan hotel-hotel dan resort-resort diteruskan dengan menyenaraikan hotel-hotel yang berdaftar dengan persatuan-persatuan yang berkait dengan pelancongan di dalam e-brosur pakej pelancongan.

Turut dilakukan ialah memperkenalkan program seperti Pematuhan Amalan Baik Pengendalian Premis dan Produk Pelancongan di negeri Perak yang mana ianya telah ditambah baik daripada program sebelum ini untuk memberikan dan mempertingkatkan keyakinan pelancong untuk datang berkunjung ke Perak.

“Program baucer pelancongan negeri Perak juga diperkenalkan dan telah dilanjutkan sehingga Jun 2022 dengan memberikan tawaran promosi kepada pelancong.

“Kerajaan negeri melalui Tourism Perak menggerakkan beberapa inisiatif secara berperingkat iaitu menawarkan semula baucer #TravelPerakLah bagi Fasa Satu hingga Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara dengan kaedah pelancong boleh terus menebus baucr itu apabila membuat pembelian pakej atau penginapan,” ujarnya.