𝗞𝗨𝗔𝗟𝗔 𝗞𝗨𝗥𝗔𝗨 - Zon Maritim Kuala Kurau menahan dua orang nelayan tempatan bersama 20 set bubu naga pada kedudukan 3.2 batu nautika barat daya Pulau Pasir Hitam, Perak dalam satu operasi pada pukul 2.30 petang semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd. Sharenliza Ghazali berkata, bot peronda Maritim Malaysia telah mengesan bot suspek dalam keadaan mencurigakan dan dirapati untuk tujuan pemeriksaan.

Menurut beliau, hasil pemeriksaan telah menemukan dua orang suspek warga tempatan berumur lingkungan 35 dan 50 tahun berada di atas bot terbabit.

"Pemeriksaan lanjut mendapati, bot suspek tidak memaparkan nombor pendaftaran dan tekong gagal mengemukakan dokumen lesen vesel yang sah. Selain itu, sebanyak 20 set bubu naga turut ditemukan berada di atas bot suspek

"Kedua-dua suspek, bot dan bubu naga serta peralatan yang lain telah dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kurau untuk tindakan lanjut," ujarnya dalam satu kenyataan di sini.

Manakala anggaran nilai rampasan bubu naga pada kes ini berjumlah RM1,800.00 dengan nilai RM 90 setiap satu set bubu.

Kes disiasat di bawah Seksyen 8(a) Akta Perikanan 1985, tidak memiliki dokumen vesel yang sah dan Seksyen 11(3)(c) akta yang sama iaitu menggunakan peralatan menangkap hasil laut yang tidak dilesenkan.

Penggunaan bubu naga bukan sahaja menyalahi undang-undang, bahkan boleh menjejaskan kelestarian ekosistem laut Malaysia dan menjejaskan sumber pendapatan nelayan yang lain.

Maritim Malaysia akan terus komited dalam usaha membanteras kegiatan jenayah di laut.

Sebarang salah laku jenayah dan kecemasan yang berlaku di laut boleh dilaporkan kepada Maritim Malaysia di talian MERS 999 yang beroperasi 24 jam atau Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kurau di talian 05-7279919.