IPOH - Tenaga Nasional Berhad (TNB) menerusi syarikat subsidiari milik penuhnya, Allo Technology Sdn. Bhd. (Allo) meluaskan lagi akses rakyat kepada capaian internet jalur lebar berkelajuan tinggi (HSBB) apabila menghubungkan 56,132 kediaman negeri ini.

Pencapaian itu menjadikan lebih 180,000 premis meliputi di Melaka, Perak, Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur dan Johor berada dalam rangkaian kemudahan ini.

Pengerusi TNB, Datuk Sri Hasan Arifin berkata, inisiatif tersebut menyokong Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) bagi merapatkan jurang digital dalam kalangan rakyat terutamanya di kawasan luar bandar.

Menurut beliau, bermula dengan projek menghubungkan 17,000 kediaman di Melaka, Allo kini giat melengkapkan rangkaian infrastruktur gentian optik di enam lagi negeri.

"Sasaran kita ialah untuk menghubungkan 300,000 premis di Semenanjung Malaysia menjelang akhir tahun ini.

“Keupayaan TNB menerusi Allo di Perak merupakan manifestasi untuk memastikan rakyat mendapat liputan jalur lebar yang meluas sejajar dengan hasrat kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Perasmian Rangkaian Infrastruktur Gentian Optik Jalur Lebar Allo Technology peringkat negeri Perak di sini.

Majlis disempurnakan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Turut hadir Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din.

Matlamat utama Jendela adalah mengadakan akses jalur lebar talian tetap berkelajuan Gigabit kepada 7.5 juta premis dan meluaskan liputan rangkaian jalur lebar mudah alih 4G di kawasan berpenduduk.

Rangkaian gentian optik ke rumah (FTTH) itu dimanfaatkan menerusi konsep Rangkaian Akses Terbuka (open access).

Kawasan-kawasan yang menerima manfaat ini ialah Sungai Rapat melibatkan 16,483 kediaman, Kinta (17,144), Menglembu (12,497), Papan (4,598), Silibin (2,790) dan Tasek (2,620).

Jelas Hasan, kemudahan ini membolehkan lebih ramai penduduk Perak mendapat akses internet jalur lebar pada harga yang berpatutan.

Katanya, ini sekali gus memperkasakan rakyat menerusi aspek-aspek seperti pembangunan ekonomi digital, pendidikan dan pembangunan komuniti terutamanya dalam suasana ekonomi mencabar akibat pandemik.

“Peranan TNB menerusi Allo dalam menjayakan Jendela membuktikan komitmen berterusan kami menjadikan kehidupan rakyat lebih sejahtera.

"Peranan menerangi kehidupan dengan membekalkan elektrik diperteguhkan lagi dengan mempersiapkan rakyat dan negara menghadapi Revolusi Industri 4.0 melalui capaian jalur Jebar yang meluas,” katanya.

Sementara itu, Saarani berkata, sasaran sehingga 30,000 kediaman lagi bakal menikmati kemudahan tersebut apabila capaiannya diluaskan terutama di Hulu Perak, Bagan Datuk dan Kerian.

"Capaian internet ini bakal melengkapkan program pendidikan yang disasarkan kerajaan negeri iaitu bagi membantu penduduk di kawasan luar bandar.

"Misalnya kita telah mengedarkan telefon bimbit percuma kepada pelajar sasaran tetapi masalahnya pada mereka apabila capaian internet lemah.

"Jadi, kita sangat mengalu-alukan penyertaan Allo khususnya TNB dalam melaksanakan perkara ini," ujarnya.