PASIR SALAK - Seorang kanak-kanak lelaki lima tahun lemas selepas kereta Honda City dinaiki terjunam ke dalam tali air di Kampung Bukit Chawi, Kampung Gajah petang semalam.

Ibu serta adik mangsa berumur empat tahun pula terselamat dan mengalami kecederaan.

Mereka dipercayai dalam perjalanan dari Kampung Gajah menghala Seberang Perak sebelum kereta itu terbabas kerana mengelak lopak air.

Jurucakap Bilik Gerakan Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Perak memberitahu, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 5.19 petang.

Menurut jurucakap tersebut, anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kampung Gajah telah dikejarkan ke tempat kejadian.

"Kereta Honda City dinaiki tiga beranak itu dipercayai terbabas masuk ke dalam tali air pada kedalaman 3.65 meter.

“Dua mangsa diselamatkan orang awam yang berada di lokasi manakala kanak-kanak lelaki itu berada di dalam kereta," ujarnya.

Operasi menyelamatkan kanak-kanak itu turut dibantu anggota BBP Teluk Intan dan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Teluk Intan.

Kata jurucakap itu, operasi mulanya dilakukan secara atas permukaan untuk mengesan kedudukan kereta sebelum selaman anggota PPDA berjaya menjumpai mangsa pada pukul 8.12 malam.

"Usaha mengeluarkan mangsa dari kenderaan dilakukan manakala pemeriksaan petugas kesihatan mengesahkan kanak-kanak itu telah meninggal dunia.

"Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi tamat sepenuhnya pada pukul 9.03 malam," ujarnya.