3 agensi 'laris' sepanjang siri Program Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak
- Details
- Sheqal Danish
- Dalam Negeri
- Hits: 608
IPOH: Sebanyak tiga agensi menerima aduan tertinggi sepanjang tiga siri Program Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak yang berlangsung di Stadium Indera Mulia, di sini tahun ini.
Agensi itu ialah Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Negeri Perak serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Perak.
Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata antara masalah dan aduan yang diajukan seperti isu pengurusan sampah dan jalan berlubang, pelupusan dan pembangunan tanah serta banjir.
Beliau berkata, sehingga 7 Jun, sebanyak 1,285 orang pelanggan telah hadir ke program tersebut dan sebanyak 143 aduan diselesaikan dan diambil tindakan selanjutnya.
"Antara masalah dan aduan utama yang diterima MBI adalah isu berkaitan pengurusan sampah domestik, anjing liar dan jalan berlubang manakala bagi PTG, peratus penerimaan aduan dan permohonan tertinggi adalah berkaitan pelupusan dan pembangunan tanah.
"Pada masa yang sama, kebanyakan aduan yang diterima oleh JPS Negeri Perak adalah masalah berkaitan banjir iaitu sungai/parit yang tidak diselenggara menyebabkan banjir, hakisan tebing kerana hujan lebat.
"Selain permohonan melebar serta meninggikan ban untuk mengelak daripada kejadian banjir," katanya kepada pemberita pada sidang media selepas program berkenaan.
Dalam pada itu Saarani berkata, beliau meminta agensi yang terbabit menjalankan amanah sebaik mungkin dengan membantu menyelesaikan aduan itu, terutama kepada tiga agensi berkenaan.
"Ada tiga agensi atau jabatan yang agak 'laris' dengan tumpuan orang ramai serta diajukan aduan, selain itu ada juga agensi lain.
"Tetapi tidaklah seramai yang tertumpu kepada tiga jabatan ini. Jadi kita nampak masalah ini begitu ramai (buat aduan).
"Ada yang datang dari jauh seawal jam 8.30 pagi ke sini, maknanya dia betul-betul berhasrat supaya masalah yang diaju dapat diatasi," katanya lagi.
Dalam program itu, sebanyak 163 jabatan dan agensi kerajaan terlibat yang merangkumi 122 kaunter khidmat pelanggan, 41 ‘booth’ pameran serta perkhidmatan kaunter bergerak.