IPOH – Sebanyak 148,174 pembayar telah melunaskan cukai taksiran sepanjang tahun ini berbanding 129,702 pada tahun lalu yang menyaksikan peningkatan 14.5 peratus atau 18,472 pengguna.

Jumlah bayaran lebihan pada tahun ini juga telah mencatatkan peningkatan sebanyak RM39.45 juta berbanding tahun lepas sebanyak RM31.9 juta. 

Justeru, sebagai tanda terima kasih pihak Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) melaksanakan Sesi Cabutan Bertuah Cukai Taksiran Tahun 2020 melalui siaran secara langsung menerusi laman sosial Facebook semalam.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, pihaknya merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada wargakota Ipoh yang telah menjalankan tanggungjawab dengan pembayaran bil cukai taksiran ini.

“Ini adalah sebagai tanda penghargaan dan terima kasih pihak MBI kepada pembayar-pembayar cukai yang melaksanakan tanggungjawab mereka pada Bandaraya Ipoh. 

“Semoga sokongan pada warga kota terhadap MBI akan berterusan dalam merealisasikan hasrat untuk menjadikan Ipoh sebuah Bandaraya yang Bersih, Hijau dan Maju,” katanya semasa berucap pada majlis tersebut.

Inisiatif ini mencatat sejarah tersendiri apabila menjadi pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama di negeri ini untuk melakukan cabutan dengan cara tersebut. 

Katanya, idea kreatif ini mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan setelah tertangguh berikutan pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada pertengahan Mac yang lalu. 

Program Cabutan Bertuah Cukai Taksiran MBI ini telah dilaksanakan sejak beberapa tahun yang lalu.

Pada sesi kali ini, hadiah keseluruhan sebanyak RM103,000 menanti pemenang dengan hadiah utama ialah kereta Proton Saga 1.3 MT.

Bagi hadiah utama, cabutan akan dibuat sekali lagi bagi menentukan hadiah yang akan dimenangi.