LUMUT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Perak menahan sebuah bot nelayan tempatan (BNT) kelas B pada kedudukan 3 batu nautika tenggara Pulau Katak, kira-kira jam 5.15 petang semalam.

Pengarahnya, Kepten Maritim Mohd Hambali Ya’akup berkata, tangkapan berkenaan dilakukan oleh bot Maritim Malaysia ketika rondaan di sekitar Perairan Pulau Sembilan.

"Hasil pemeriksaan awal mendapati, bot yang dikendalikan oleh tiga kru termasuk tekong warga tempatan dan seorang kru warga Indonesia berumur lingkungan 23 hingga 48 tahun sedang melakukan aktiviti menangkap ikan kurang daripada 5 batu nautika.

"Pemeriksaan lanjut mendapati, kru warga Indonesia itu mempunyai dokumen pengenalan diri yang telah tamat tempoh," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Mohd Hambali berkata tekong dan kru disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 iaitu melanggar syarat sah lesen dengan melakukan aktiviti menangkap ikan kurang daripada jarak yang dibenarkan dan Akta Imigresen 1959/63.

Ujarnya lagi, kesemua kru, bot serta 80 kilogram ikan campur dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Kampung Acheh, Sitiawan di sini bagi proses penahanan, siasatan dan tindakan lanjut.

Sebarang maklumat atau aduan jenayah maritim, orang ramai boleh menyalurkannya kepada Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-6838737 atau MERS 999.