Tambah 19 PEDi penuhi keperluan setiap DUN di Perak
- Details
- Saloma
- Dalam Negeri
- Hits: 614
IPOH: Sebanyak 19 buah lagi Pusat Ekonomi Digital (PEDi) bakal diwujudkan di negeri ini bagi memenuhi keperluan tambahan golongan sasaran di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN).
Sebelum ini terdapat 66 PEDi di Perak yanh merupakan inisiatif Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi meningkatkan kadar penembusan jalur lebar selaras dengan Pelan Jalur Lebar Kebangsaan.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Khairul Shahril Mohamed berkata, penambahan itu sedang dalam peringkat akhir perbincangan sebelum dilaksanakan.
"Di Perak ada berapa DUN yang masih belum ada PEDi, saya pun cadangkan dalam mesyuarat baru-baru ini supaya tidak berada dalam skop satu DUN satu PEDi saja.
"Tetapi kalau ada DUN yang memerlukan lebih daripada itu kerana kehendak semasa masyarakat, kita perlu tambah.
"Sekarang sudah di peringkat akhir untuk kita wujudkan 19 lagi PEDi di Perak, yang babitkan semua DUN dan tambahan bagi yang memerlukan," katanya lagi.
Khairul Shahril berkata dengan penambahan pusat itu, ia mampu menjayakan hasrat negeri untuk merapatkan jurang digital antara masyarakat bandar dan luar bandar.
"Ia boleh digunakan semua golongan, tidak kira usia. Khususnya kepada usahawan, pelajar dan tenaga pengajar.
"Saya jangka insyaAllah tahun ini boleh siap tambahan PEDi itu, sekarang masih dalam perbincangan untuk proses tawaran kepada pihak pembekal untuk laksanakannya," katanya.