GERIK - Sebanyak 70 kotak makanan disumbangkan melalui misi bantuan kepada masyarakat Orang Asli Kampung Ralak Pos Kemar.

Kotak yang mengandungi barangan keperluan asas itu merupakan sumbangan daripada Perbadanan Menteri Besar Perak (MBInc). 

Tok Batin Kampung Ralak, Abu Bakar Aluej berkata, sumbangan tersebut sangat berharga kepada 350 orang penduduk di kampung tersebut. 

“Saya mewakili penduduk mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu melalui MBInc di atas sumbangan yang besar ertinya bagi kami.

“Memandangkan masalah Covid- 19 masih belum berakhir, kami mempunyai sedikit masalah untuk mendapatkan bekalan makanan.

"Apatah lagi untuk keluar ke pekan mengambil masa yang lama dan jauh”, katanya selepas menerima sumbangan dari wakil MBInc.

Misi bantuan kepada komuniti Orang Asli itu adalah sebahagian daripada khidmat berterusan MBInc bagi menyahut seruan Menteri Besar dalam membantu meningkatkan sosio-ekonomi masyarakat Orang Asli di Perak.

Sebelum ini, MBInc telah mengambil dua buah kampung Orang Asli iaitu Kampung Sungai Cincin di Chenderiang dan Kampung Bukit Cermin di Kuala Kangsar sebagai kampung angkat MBInc.

Program kampung angkat ini adalah inisiatif berterusan bagi memastikan komuniti Orang Asli mendapat faedah secara holistik dari aspek pendidikan, ekonomi dan pembangunan sosial.