PARIT BUNTAR - Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Majistret Parit Buntar di sini, atas pertuduhan membuat tuntutan palsu bagi kes kemalangannya kira-kira tiga tahun lalu.

P Saarvin, 24, berasal dari Nibong Tebal, Pulau Pinang, mengaku tidak bersalah sebaik sahaja pertuduhan ke atasnya dibacakan.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 93(a),Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969,(Akta 4) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 93, akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya.

Mengikut fakta kes, Saarvin telah membuat kenyataan palsu kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang dia terlibat dalam kemalangan jalan raya pada 29 Jan 2017, jam 6.30 petang di Jalan Ooi Kar Seng, Nibong Tebal sewaktu dalam perjalanan pulang dari tempat kerja.

Bagaimanapun, selepas Perkeso melakukan siasatan lanjut kerana mendapati kenyataan tersebut meragukan, Saarvin telah menukar pengakuannya bahawa pada hari kejadian dia pergi menonton perlawanan bolasepak di Taman Sentosa, Nibong Tebal dan terlibat dalam kemalangan jalan raya.

Saarvin dibenarkan ikat jamin sebanyak RM1,000 dan kesnya akan disebut semula pada 27 Julai ini.

Pengurus Perkeso Taiping, Tunku Shahrain Tunku Salehan berkata, antara faktor yang menyebabkan kes ini didakwa adalah kerana penggunaan (Orang Tengah) yang tidak bertanggungjawab.

"Saya meminta kepada mana-mana pekerja atau majikan mendapatkan khidmat nasihat dari Pejabat Perkeso bagi mengelakkan kes tuntutan palsu ini berulang pada masa hadapan,"katanya yang turut memaklumkan perkhidmatan yang diberikan Perkeso adalah percuma dan memudahkan banyak pihak untuk berurusan.