IPOH: Perak telah mengatur program untuk mengenalpasti dua 'blackspot' atau kawasan hitam yang sering berlaku kemalangan dan berisiko kepada pengguna jalan raya, iaitu di daerah Kinta dan Kerian.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, sehingga kini Jabatan Kerja Raya (JKR) telah melaksanakan program tersebut bagi memastikan keselesaan pengguna jalan raya.

"Ada sesetengah tempat kita kenal pasti ia boleh mengundang kemalangan di situ, di tanah atau jalan kerajaan negeri. Maka kita telah melaksanakan satu program untuk kenal pasti 'blackspot' ini dan didapati Perak ada dua.

"Ada dua tempat yang sering berlaku kemalangan jalan raya, satu di Kinta dan kedua di Kerian. Jadi pemantauan dan makluman daripada JKR akan lebih terperinci di lokasi dua 'blackspot' ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan pada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wong May Ing (DAP- Pantai Remis) pada Sidang DUN Perak ke-15 di sini pada Rabu.

Soalan lisan itu berkenaan jumlah kemalangan direkodkan yang berpunca daripada keadaan fizikal jalan raya berlubang, kerja-kerja pembinaan serta kekurangan pencahayaan lampu jalan.

Dalam pada itu, Mohammad Nizar berkata manakala bagi perancangan tahun depan, sebanyak 10 lokasi di negeri ini telah dikenal pasti bagi kerja-kerja membaik pulih jalan.

"Pada tahun 2023 sebanyak 10 lokasi telah dikenal pasti membabitkan daerah seperti Manjung, Larut Matang dan Selama (LMS), Kinta, Batang Padang dan Kerian.

"Ini merupakan kos yang kita anggarkan untuk baik pulih atau mengelakkan kemalangan jalan raya, sejumlah RM 3.2 juta, insyaAllah kita akan pastikan ia dapat dilaksanakan pada tahun depan.

"Sehubungan itu kerja-kerja membaiki jalan di lokasi tersebut akan dilaksanakan setelah peruntukan diterima.

"Kita mahu pastikan mana-mana jalan negeri dan Persekutuan, usaha bagi membaik pulih jalan yang rosak atau berisiko mengundang kemalangan, kita akan cuba elak," katanya.

Sementara itu, beliau menambah data rekod kemalangan menyatakan kebanyakan kemalangan jalan raya berlaku akibat pelanggaran dan terbabas.

"Sama ada punca fizikal jalan itu menyebabkan kemalangan, tetapi laporan yang kita peroleh daripada polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mendapati amat kurang ia menjadi faktor kemalangan.

"Biasanya kemalangan di jalan Persekutuan dan negeri ini berlaku akibat terbabas, pelanggaran atau kecuaian pemandu sendiri. Bagaimanapun kita akan pastikan program yang dirancang berjalan bagi memastikan keselesaan pengguna jalan raya," katanya.