Jadikan keindahan lanskap sebagai budaya Malaysia
- Details
- Sheqal Danish
- Dalam Negeri
- Hits: 1070
IPOH - Lima strategi ke arah mewujudkan 'Landskap Berkualiti Malaysia Madani' digariskan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam pembudayaan landskap perbandaran yang berkualiti.
Ia bagi membentuk sebuah komuniti Malaysia yang progresif dan sejahtera seiring dengan aspirasi Malaysia Madani.
Lima teras tersebut adalah memantap dan mendaya-majukan sistem rangkaian landskap yang berkualiti di Malaysia supaya dapat dimanfaatkan secara komprehensif.
Teras lain ialah perlindungan kepada sumber landskap semulajadi dan aset-aset landskap bernilai tinggi dan penjanaan nilai ekonomi industri landskap.
Seterusnya ialah memperkemas kualiti perkhidmatan landskap dan menjadikan landskap, taman dan ruang hijau sebagai wadah perpaduan.
Perdana Menteri menggariskan teras tersebut semasa berucap merasmikan Sambutan Hari Landskap Negara 2023 (HLN2023) yang berlangsung di Taman D.R. Seenivasagam pagi tadi.
"Etika menghargai landskap akan subur sebagai satu budaya kehidupan masyarakat Malaysia agar pembangunan negara yang seimbang dan harmoni dapat dinikmati oleh segenap lapisan masyarakat.
"Kepelbagaian program bersifat pembudayaan landskap selain berunsur pendidikan yang berorientasikan landskap dan alam sekitar haruslah dipergiat dan diperluaskan supaya menarik minat generasi muda Malaysia secara khusus.
"Harapan saya agar penganjuran sambutan Hari Landskap Negara pada hari ini akan menjadi jendela kesepakatan kita bersama," ujarnya dalam ucapan tersebut.
Penganjuran HLN 2023 bertujuan meningkatkan kesedaran dan apresiasi terhadap landskap selain menyebarluas kepentingan landskap melalui program pembangunan landskap yang komprehensif.
Ia juga bagi mencapai wawasan Negara Taman Terindah seiring Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) dan Dasar Landskap Negara.
Majlis turut dihadiri Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dan Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar.
Sambutan turut dimeriahkan dengan penglibatan pameran berfokuskan landskap serta penyertaan 14 pihak berkuasa tempatan di Perak. -PERAKTASTIC-