IPOH – Satu gerakan mencari dan menyelamat (SAR) seorang pendaki lelaki berusia 68 tahun dikhuatiri sesat semasa mendaki Gunung Korbu dilancarkan hari ini.

Mangsa, Tee Kong Tiong bersama rakan wanitanya berusia 42 tahun itu telah mendaki gunung berkenaan pada Jumaat lalu sebelum mereka terpisah dalam perjalanan turun.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abd Aziz berkata, kehilangan mangsa dilaporkan oleh anaknya di Ibu Pejabat Polis (IPD) Shah Alam setelah dihubungi wanita berkenaan pada Ahad lalu kira-kira jam 4 petang.

“Pihak IPD Ipoh telah dimaklumkan tentang kejadian tersebut pada jam 10.42 malam tadi lalu menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri bagi melancarkan gerakan SAR.

“Difahamkan, walaupun telah berusia tetapi mangsa masih aktif melakukan hobinya dan ini juga merupakan pendakian kali kelima dia bersama rakan wanita itu mendaki Gunung Korbu,” katanya di sini, hari ini.

Gerakan SAR turut melibatkan anggota Tiger Platoon Pasukan Gerakan Am, Unit K9 JBPM, Jabatan Perhutanan negeri, Lembaga Air Perak dan malim gunung.

Sehingga petang tadi mangsa masih belum ditemui.