IPOH- Menteri Besar, Dato’ Saarani Mohamad hari ini menerima suntikan vaksin Covid-19 bersama 221 petugas barisan hadapan  di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Stadium Indera Mulia.

Saarani berkata bersempena Majlis Pelancaran Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Peringkat Negeri Perak hari ini, saya merayu kepada seluruh lapisan rakyat supaya mendapatkan suntikan vaksin masing-masing seperti yang dijadualkan oleh Kementerian Kesihatan.

“Pemberian imunisasi fasa pertama ini meliputi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di klinik-klinik kesihatan, hospital dan dewan-dewan yang dikenal pasti di seluruh daerah di negeri Perak.

“Penerima vaksin yang telah mendaftar akan menerima pemberitahuan melalui aplikasi mySejahtera mengenai tarikh dan PPV yang ditetapkan. 

“Sekiranya ada sebarang kemusykilan atau keraguan, rujuklah kepada mana-mana pejabat kesihatan negeri untuk mendapatkan maklumat yang lebih tepat dan sahih”, katanya pada media selepas menerima vaksin Covid-19, di sini, hari ini.

Saarani menerima suntikan vaksin Covid-19 yang dilakukan oleh Jururawat Kesihatan Awam, PKD Kinta, Klinik Kesihatan Ibu dan Anak Batu Gajah, M. Kirage Letchumy.

Sementara itu Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Perak, Dato' DrDing Lay Ming juga menerima suntikan vaksin Covid-19 yang dilakukan oleh Jururawat Kesihatan TBK, Klinik Kesihatan Simee, Che Norhayati Hussin.

Berdasarkan data Jabatan Kesihatan,  sebanyak 22,230 dos pertama bekalan vaksin telah diterima untuk diberikan sepanjang pelaksanaan fasa pertama Program Imunisasi COVID-19.

Menurut Saarani, petugas barisan hadapan di negeri Perak akan menerima suntikan vaksin pada fasa pertama program ini yang dijangka selesai pada penghujung April ini.

“Mereka terdiri daripada 22,094 petugas di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia manakala 17,666 lagi merupakan petugas barisan hadapan daripada jabatan lain yang turut terlibat secara langsung dalam aktiviti pencegahan dan kawalan COVID-19. - Peraktastic. Foto Ehsan SUK.