Lenggong- Lenggong Geopark bakal menjadi Geopark Kebangsaan yang kedua di Negeri Perak selepas Geopark Lembah Kinta.

Menteri Besar, Dato’ Saarani Mohamd berkata kawasan cadangan Lenggong Geopark meliputi seluas 2,391 kilometer persegi yang melibatkan empat mukim iaitu mukim Kenering, Lenggong, Temelong dan Durian Pipit.

“Lenggong Geopark bukan sahaja melibatkan tapak-tapak geologi dan arkeologi, malah mengetengahkan tapak-tapak yang kaya dengan kepelbagaian biologi, sejarah, budaya dan produk tempatan.

“Pembangunan Geopark selaras dengan polisi merancang pembangunan fizikal mampan dengan cara membangunkan guna tanah secara bersepadu dan memelihara khazanah semula jadi negeri Perak agar seimbang dan berdaya tahan.

“Di bawah konsep geopark, khazanah sumber semula jadi dikekalkan dan dimanfaatkan untuk menjana pendapatan penduduk tempatan melalui aktiviti geopelancongan”, kata ketika berucap di Majlis Pecah Tanah Pembinaan Galeri Lenggong Geopark, disini, hari ini.

Hadir sama Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar bin Hj. Nasarah dan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Negeri Perak, Dato’ Nolee Ashilin binti Dato’ Mohammed Radzi.

Saarani mengucapkan setinggi terima kasih kepada Yayasan Albukhary  yang telah memperuntukan  RM2 juta bagi melaksanakan pembinaan Galeri Lenggong Geopark ini.

Beliau menambah usaha murni Yayasan Albukhary itu akan menjadi contoh kepada badan korporat yang lain dalam membantu kerajaan mengekalkan sumber semula jadi negara pada masa akan datang.

“Kerajaan Negeri Perak merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam semua peringkat  sehingga Lenggong dapat diiktiraf sebagai Geopark Kebangsaan kedua di Negeri Perak”, katanya- Peraktastic- Gambar ikhsan SUK.