IPOH – Cadangan untuk mengadakan sesi pertemuan melibatkan 59 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi menggantikan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang tidak boleh dilaksanakan semasa tempoh darurat akan dipertimbangkan.

Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad berkata, barisan pentadbiran kerajaan negeri boleh memberikan taklimat kepada semua ADUN yang hadir nanti mengenai perancangan yang telah dan sedang kerajaan negeri lakukan.

Menurut beliau, bagaimana pun tiada perbahasan sepertimana dalam Sidang DUN tetapi hanya taklimat biasa yang boleh diadakan misalnya di hotel atau Dewan Bankuet secara sesi terbuka.

“Antaranya pada pertemuan tersebut kita boleh terangkan berkaitan status kewangan dan perbelanjaan serta hasil pungutan cukai.

“Pertemuan itu nanti tidak perlu menggunakan Speaker, kerana tidak mahu ia disalah erti atau diputar belit oleh mana-mana pihak seolah-olah kita mengadakan sidang DUN tanpa kebenaran,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sesi cabutan kerja undi Jabatan Kerja Raya Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.

Saarani berkata dengan adanya pertemuan itu nanti, kesemua ADUN boleh memberikan maklum balas dan pandangan mengenai kerajaan negeri dan seterusnya pentadbiran kerajaan negeri akan dapat memperbaiki prestasi.

Semalam, Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Perak, Datuk Asmuni Awi mencadangkan sesi persidangan antara ADUN Ahli diadakan, menggantikan Sidang DUN yang tidak boleh dilaksanakan dalam tempoh darurat.

Asmuni berkata, persidangan yang dicadangkan itu sama Sidang DUN namun tidak mengguna pakai aturan rasmi Sidang DUN seperti penggunaan cokmar.

Cadangan itu dilihat sebagai pilihan yang boleh difikirkan bagi memastikan perbincangan mengenai masalah rakyat dapat diteruskan walaupun dalam tempoh darurat.

Kali terakhir Sidang DUN diadakan ialah pada Disember tahun lalu sebelum tertangguh berikutan kemelut pelantikan Menteri Besar ketika itu.

Sebelum ini, Speaker DUN, Datuk Muhammad Zahir Abdul Khalid berkata, pihaknya telah meminta Penasihat Undang-undang Negeri agar merujuk kepada Pejabat Peguam Negara bagi mendapatkan kepastian berhubung kebenaran untuk mengadakan Sidang DUN.

Katanya, ini termasuk cadangan mengadakan satu perjumpaan dengan ahli-ahli Dewan untuk bertanya soalan dan juga bagi pihak kerajaan untuk memberikan jawapan.

Kaedah ini dilihat baik kerana masalah dan isu-isu berkaitan rakyat turut dapat kita atasi.