IPOH – Kegigihan seorang guru membersihkan sungai daripada sampah sarap secara sukarela untuk mengelakkan banjir dihargai apabila menerima Anugerah Ikon Sungai Perak 2021 pada Sambutan Hari Air Peringkat negeri di Hotel Casuarina hari ini.

Ismail Mohd. Zain, 40, seorang guru di Sekolah Kebangsaan Felda Besout 1, Slim River membersihkan Sungai Balun daripada sampah yang terperangkap bagi menghindari kejadian banjir jika hujan lebat.

Walaupun terpaksa bergelumang dengan lumpur, selut dan lintah, itu tidak menghalang beliau untuk membersihkan Sungai Balun berhampiran Taman Slim Permata seorang diri yang dilakukan secara sukarela.

Katanya, beliau perlu membersihkan rumpai di dalam air yang memerangkap sampah seperti botol, bekas plastik dan tong.

"Sampah-sarap ini mungkin dihanyutkan oleh air ketika banjir lalu terperangkap di dalam sungai yang mempunyai rumpair.

"Saya tidak boleh lihat sampah-sarap seperti botol dan bekas plastik terapung di sungai dan saya akan jadikan ia sebagai rutin untuk dibersihkan pada waktu lapang,” ujarnya yang memberitahu anugerah tersebut menjadi penguat pada dirinya untuk terus melakukan kerja-kerja sukarela tersebut.

Beliau menerima sijil penghargaan dan cek sebanyak RM3,000 yang disampaikan oleh Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad dan turut disaksikan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Pada Februari lalu, Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah menzahirkan titah penghargaan terhadap kesungguhan Ismail yang sanggup membersihkan Sungai Balun di Slim River, Tanjung Malim secara sukarela.

Sultan Nazrin bertitah, usaha guru itu membersihkan Sungai Balun daripada sampah terperangkap dapat menghindari kejadian banjir.

Selain itu, baginda bertitah usaha Ismail juga dapat memelihara habitat pelbagai spesies hidupan air untuk membiak seterusnya memberi rezeki kepada nelayan darat.