IPOH – Selepas bandaraya Putrajaya, Petaling Jaya dan Kuala Lumpur, bandaraya Ipoh turut mengikut jejak langkah yang sama dengan menjadi bandar pintar keempat di Malaysia menjelang 2030.

Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad berkata, berikutan itu Pelan Tindakan Bandar Ipoh dihasilkan di bawah Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dengan kerjasama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan PLANMalaysia bagi merealisasikan perkara tersebut.

Beliau berkata, kerajaan negeri melalui MBI adalah bandar raya pertama di negeri ini yang akan dibangunkan menjadi bandar pintar dan akan diperluaskan ke daerah-daerah lain pada masa hadapan.

Katanya, bandar pintar akan bermula di Ipoh terlebih dahulu memandangkan ia adalah ibu negeri selain mempunyai kemudahan infrastruktur yang telah dibangunkan .

“Selepas MBI, kita akan memperluaskannya ke majlis daerah lain seperti di Manjung, Taiping dan Kuala Kangsar,” ujarnya.

Saarani menambah, banyak perkara yang perlu dilakukan dalam pembangunan bandar pintar supaya penduduk di bandar raya ini dapat berhubung dengan mudah hanya menggunakan aplikasi teknologi.

“Sebelum ini, kita ada aplikasi Food Panda, Grab Food untuk memesan makanan. Itu baru satu daripada ciri-cirinya. Selain itu, kita boleh bayar bil, saman melalui aplikasi yang disediakan.

“Aplikasi digital ini setiap saat bertambah dan kita perlu peka akan perubahan itu. Sebab ia akan membantu untuk menjayakan bandar pintar.

“Jadi, kita memerlukan lebih kagi kerana akhirnya nanti kita bukan hanya sekadar menjadikan Ipoh smart city tetapi kita mahukan smart state,” katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis Pelancaran Pelan Tindakan Ipoh 2020-2030, di Hotel Kinta Riverfront di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi dan Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud.

Pada majlis tersebut, tiga sesi menandatangani perjanjian persefahaman (MOU) antara MBI dengan Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) berkaitan Kajian Pelaksanaan Ipoh sebagai Bandaraya Bestari Sejahtera dan Kumpulan Sunway (Sunway Group) berkaitan cadangan menaik taraf sebahagian Jalan Tambun.

Manakala, sesi menandatangani MOU Supply Agreement of Renewable Energies (SARE) bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB) berkaitan pemasangan Sistem Bumbung Solar di bangunan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Perak.

Sementara itu, menyentuh mengenai ciri-ciri lain yang membezakan Ipoh dengan bandar pintar lain Rumaizi berkata, bandaraya Ipoh menampilkan konsep MIA.

“Kita mengetengahkan konsep MIA iaitu Manusia, Infrastruktur dan Alam Sekitar. Kita amat menitikberatkan untuk menjadikan Ipoh Green City dan itu membuatkan ia berbeza dengan yang lain,” jelasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Pegawai Retail TNB, Datuk Ir Megat Jalaluddin Megat Hassan berkata, MBI adalah PBT pertama di Perak menandatangani MOU bersama TNB.

Selain itu, beliau berkata, UTC Perak pula adalah UTC pertama di Malaysia yang memasang sistem bumbung solar di bangunan berkenaan.

“Pemasangan panel solar itu dijangka akan siap dalam tempoh enam bulan dan akan membantu memelihara alam sekitar malahan dapat menjimatkan bil elektrik.

“Ini adalah satu permulaan baik dan akan dipanjangkan kerjasama pada masa hadapan,” jelasnya.