IPOH - Tahap pematuhan orang awam terhadap prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di negeri ini dilihat semakin meningkat.

Dalam tempoh PKPP bermula 19 Mac hingga semalam, sebanyak 46 kompaun telah dikeluarkan menjadikan tahan pematuhan SOP adalah sebanyak 96 peratus.

Ketua Polis Negeri, Datuk Pahlawan Mior Faridalathrash Wahid berkata, semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) semasa dua minggu lalu, jumlah yang dikenakan kompaun adalah 347 orang.

"Perbezaan angka ini menunjukkan satu petanda positif bahawa orang ramai semakin patuh terhadap aturan SOP bagi mencegah wabak Covid-19.

"Pada masa sama kita lihat trend jangkitan juga semakin berkurangan dan kita percaya ia adalah disebabkan tahap kepatuhan, justeru kita mahu warga Perak terus memainkan peranan mereka," ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa sidang akhbar pada Majlis Sepetang Bersama Media Perak Sempena Peringatan Hari Polis ke-214 di Mes Pegawai Kanan Polis di sini hari ini.

Majlis tersebut bagi menghargai sumbangan pihak media yang sering bekerjasama rapat dengan polis dalam menyampaikan maklumat-maklumat kepada masyarakat khususnya di negeri ini.

Turut hadir ialah Presiden Kelab Sukan dan Kebajikan Media Perak, Rosli Mansor Ahmad Razali.

Dalam pada itu kata Mior Faridalathrash lagi, dalam tempoh PKPP ini sebanyak 28 lokasi sekatan jalan raya telah diadakan dengan kekuatan 309 anggota polis dan dibantu 198 anggota pasukan sahabat.

Katanya, polis Perak juga telah mengaturkan sebanyak 462 kumpulan pemantau pematuhan SOP dengan kekuatan kira-kira 1,134 pegawai polis dan 293 anggota pasukan lain.

"Pada masa sama, sehingga 23 Mac pula seramai 7,790 anggota dan pegawai polis di seluruh Perak telah menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19," ujarnya.