IPOH – Warga bandar raya Ipoh sentiasa dialu-alukan untuk datang ke mana-mana 25 buah balai polis di bandar ini sekiranya ada keraguan tentang apa-apa perkara berkaitan keselamatan termasuklah pematuhan operasi standard (SOP) Covid-19.

Malah, setiap hari Jumaat pula merupakan hari polis Ipoh bertemu pelanggan di mana orang awam boleh datang bagi apa jua urusan yang berkaitan dengan pasukan tersebut.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abd Aziz, berkata, cara tersebut adalah lebih baik berbanding dengan hanya membaca dan percaya pada penyebaran berita tular yang diragui kesahihannya.

Menurut beliau, penyebaran berita-berita tular yang tidak betul juga turut memberi kesan moral kepada pihak polis, jadi masyarakat perlu bersama-sama membendung berita tidak benar ini.

“Mutakhir ini kerap berlaku penyebaran berita tidak betul dan yang menjadi lebih teruk apabila ia kemudian menyusahkan pihak polis apabila aduan dibuat dan kita kena menyiasat kesahihan berita tersebut.

“Ini sedikit sebanyak mengganggu tugas polis, malah lebih buruk apabila ada berita tular yang sengaja cuba mencemarkan kewibawan pasukan polis. Ini bukan tindakan yang baik.

“Sebenarnya perkara seperti ini boleh diselesaikan sekiranya orang awam merujuk sebarang kekeliruan berhubung apa-apa maklumat yang diterima kepada pihak polis terlebih dahulu,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa ditemui pada Perbarisan Peringatan Hari Polis ke-214 di Kompleks Latihan Sukan Kontinjen Perak di sini hari ini.

Pada majlis tersebut seramai 184 warga polis, orang awam termasuk 10 petugas media menerima surat penghargaan atas pencapaian masing-masing.

Tambah Asmadi, sehubungan itu beliau menasihatkan masyarakat agar tidak menggunakan platform media sosial untuk memuat naik berita-berita yang diketahui kesahihannya dan kemudian menjadi tular sehingga menimbulkan persepsi awam.