TANJUNG MALIM – Masalah banjir yang kerap berlaku di Trolak mendapat perhatian Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad apabila melakukan tinjauan tebatan banjir di Trolak Pekan bagi meninjau permasalahan banjir yang sering berlaku sehingga kini.

Kejadian banjir yang berlaku adalah disebabkan kapasiti sungai-sungai yang sedia ada ini tidak mampu menampung aliran air yang tinggi terutamanya ketika hujan lebat.

Keadaan ini bertambah serius dengan penanaman semula pokok kelapa sawit secara besar-besaran di kawasan Trolak yang meningkat lagi aliran hujan terus ke sungai serta membawa kelodak dan kotoran.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah mengemukakan permohonan projek untuk dilaksanakan bagi Rancangan Tebatan Banjir Sungai Trolak Pekan dan Behrang Stesen, Daerah Muallim dalam Rancangan Malaysia Ke Dua Belas (RMK-12).

“Maklum balas positif telah diberikan oleh Menteri Besar di mana beliau menyarankan supaya usaha-usaha Program Rancangan Tebatan Banjir ini dipercepatkan sekaligus memberi manfaat kepada Penduduk Kampung di sekitar Daerah Muallim,” ujarnya.

Turut mengiringi tinjauan tersebut ialah Pengarah JPS Perak, Datuk Ir Dr Ahmad Anuar Othman.

Dalam pada itu, Mohd Zolkafly bersama Pengurus Besar Lembaga Air Perak (LAP), Datuk Ishak Abd Rahman turut mengadakan tinjauan ke kawasan projek menaiktaraf sistem bekalan air dan tangki simpanan air di Rancangan Felda Sungai Behrang.

Semasa lawatan ini, beliau turut menerima aduan penduduk setempat berkenaan gangguan bekalan air yang tidak mencukupi sehingga mengganggu aktiviti seharian penduduk di sini khsusunya semasa waktu puncak.

LAP melalui kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM1.18 juta bagi menaiktaraf sistem bekalan air di Rancangan Felda Sungai Behrang melibatkan pembinaan tangki baharu serta peyambungan paip ke paip sedia ada.