IPOH - Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan beberapa agensi lain sedang menyiasat dakwaan terdapat peniaga ais yang beroperasi tanpa lesen di Pasar Besar Ipoh.

Perkara tersebut menjadi tular pada minggu lalu selepas dikongsi di laman sosial Facebook oleh sebuah pertubuhan yang mendakwa wujudnya peniaga ais haram dalam pasar berkenaan. 

Selain itu, laman sosial berkenaan turut mendakwa peniaga terbabit menggunakan khidmat pekerja asing tanpa permit dan perkara ini telah berlarutan sejak tujuh tahun lalu.
 
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud berkata, MBI dan beberapa agensi berkaitan sedang menjalankan siasatan berhubung perkara tersebut. 
 
“Setakat ini, kita telah pun keluarkan notis di situ, namun kita masih menunggu laporan akhir siasatan.
 
“Perkara ini bukan hanya melibatkan MBI sahaja, tetapi agensi lain. Jika terus dibuat kesimpulan, nanti orang akan marah,” katanya. 
 
Rumaizi ditemui selepas melancarkan E-wallet Maybank Bazar Ramadan MBI di bazar Ramadan Stadium Perak di sini, semalam.