IPOH – Yayasan Pelajaran Mara (YPM) dan Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) merangka kerjasama apabila menandatangani Nota Persefahaman (NoU) untuk memberi peluang kepada pelajar tahfiz yang tidak mempunyai Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk mengikuti program USAS Bridging Centre di universiti tersebut.

Menerusi Program Fast Track SPM Tahfiz itu, ia bakal memberi peluang kepada pelajar tahfiz di sekolah swasta untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi selain mengikuti pengajaran dan pembelajaran secara lebih formal serta sistematik.

Program Fast Track SPM Tahfiz ini berkonsepkan kelas tuisyen bagi pelajar lepasan tahfiz yang akan menduduki SPM.

YPM dalam satu kenyataan memberitahu, majlis menandatangani NoU ini dimeterai antara Ketua Pegawai Eksekutif YPM, Mohd Amran Mohd Ariffin manakala USAS diwakili Timbalan Naib Canselor Akademik dan Hal Ehwal Pelajar, Profesor Datuk Dr Wan Sabri Wan Yusuf.

Kata kenyataan itu lagi, turut hadir menyaksikan pemeteraian ini ialah Pengerusi Eksekutif YPM, Datuk Dr. Mohd. Nizar Sudin dan Naib Canselor USAS, Tan Sri Profesor Dr Nordin Kardi.

“Ketika ini terdapat kira-kira 83,000 pelajar tahfiz di pondok swasta yang berdaftar dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di mana sebahagian besarnya tidak menawarkan SPM dalam silibus pengajian.

“USAS Bridging Centre ini menawarkan Program Fast Track SPM Tahfiz sebagai alternatif kepada mereka,” ujar kenyataan tersebut.

Majlis juga menyaksikan upacara penyerahan replika cek RM200,000 kepada USAS bagi Program Fast Track SPM Tahfiz tajaan Maybank Islamic Berhad yang disampaikan oleh Mohd. Nizar kepada Nordin.

Pada majlis sama turut disempurnakan upacara penyerahan sumbangan sebanyak RM288,000  kepada Jabatan Pendidikan Negeri Perak bagi Program Back To School YPM Negeri Perak yang akan memanfaatkan 24 buah kawasan Parlimen.

Ini merupakan program bantuan persekolahan yang dilaksanakan menjelang sesi persekolahan melibatkan pelajar-pelajar miskin atau kategori B40 bagi membantu mengurangkan beban ibu bapa pelajar.

Juga penyerahan cek kepada Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Kangsar berjumlah RM139,850 bagi Program Tanggungjawab Sosial Korporat Pendidikan YPM Daerah Kuala Kangsar dan RM3,700 bagi Bantuan Persekolahan YPM kepada Sekolah Kebangsaan Plang, Grik.