IPOH – Suami kepada Ketua Wanita UMNO Perak, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin meninggal dunia di kediaman mereka di Sunway City Ipoh, di sini, awal pagi ini.

Pegawai Khas Dr Wan Norashikin dalam satu kenyataan memaklumkan Allahyarham Edi Razman Mohd Ismail, 53, disahkan meninggal dunia kira-kira jam 6.50 pagi oleh petugas kesihatan.

Menurutnya, Allahyarham mempunyai sejarah sakit jantung, bagaimanapun punca kematian masih belum dikenal pasti.

Jenazah Allahyarham dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk ujian COVID-19 dan dijangka akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tambun selepas segala urusan selesai.

Dr Wan Norashikin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kampung Gajah adalah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat negeri Perak.

Allahyarham Edi Razman turut meninggalkan tiga orang anak iaitu anak sulung perempuan, Elis, 21, dan dua anak lelaki, Eric, 19 dan Ethan, 12.