IPOH 20 Mei - Sebanyak RM71.1 diperuntukkan kerajaan Perak bagi menyuntik ekonomi negeri ini menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Negeri Perak (Fasa 2) yang diumumkan hari ini.

Ia akan memberi manfaat kepada kumpulan sasar terutama sektor-sektor ekonomi tertentu yang terkesan berikutan wabak Covid-19 selain rakyat secara keseluruhannya.

Ia termasuklah bantuan khas kewangan RM1,000 seorang kepada semua penjawat awam negeri.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, inisiatif tambahan itu sebagai pelengkap kepada bantuan kerajaan Persekutuan bagi memacu ekonomi negeri.

Menurut beliau, jumlah keseluruhan Pakej Rangsangan Ekonomi Negeri Perak adalah kira-kira RM101.6 juta termasuk RM30.44 juta yang dibelanjakan pada fasa pertama.

"Ia terbahagi kepada enam sektor iaitu sektor perniagaan sebanyak RM18.3 juta, pertanian (RM15.5 juta), dan pelancongan (RM10.8 juta).

"Turut menerima manfaat ialah sektor pendidikan dan modal insan (RM9.5 juta), kebajikan dan sosial (RM1.4 juta) dan cukai tanah (RM15.4 juta)," ujarnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Bagi sektor perniagaan misalnya, sebanyak RM10 juta diperuntukkan bagi pembiayaan industri kecil dan sederhana, pinjaman mikro tabung usahawan (RM5 juta) dan inisiatif e-dagang (1.65 juta).

Bagi sektor pertanian pula, bantuan adalah bagi penjajaran program sedia ada dan dana tambahan projek-projek pertanian, penternakan serta perikanan berimpak tinggi.

Menurut Ahmad Faizal, sebanyak RM10.84 juta diperuntuk kepada sektor pelancongan termasuk bagi pemasaran, penganjuran acara, pendigitalan dan pembangunan.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal juga memberitahu kerajaan negeri bersetuju membenarkan makan di semua premis makanan atas persetujuan pengusaha.


Begitu juga aktiviti riadah di taman-taman rekreasi awam dibenarkan berkuatkuasa serta merta tetapi hendaklah mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan.