Sidang DUN Perak 25 Ogos
- Details
- Sheqal Danish
- Dalam Negeri
- Hits: 710
IPOH - Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak akan bersidang selama empat hari secara fizikal bermula 25 Ogos ini selepas mendapat perkenan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah semalam (Selasa).
Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad berkata, baginda turut berkenan untuk berangkat merasmikan istiadat pembukaan pada hari pertama persidangan.
“Mesyuarat Pertama Tahun Keempat Dewan Negeri ke-14 akan bersidang selama empat hari dan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak telah berkenan untuk berangkat merasmikan istiadat pembukaan.
“Semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak akan terlibat secara fizikal manakala ketua jabatan dan pemerhati akan mengikuti sidang dewan secara maya,” ujarnya semasa mengumumkan perkara tersebut melalui sidang media secara dalam talian di pejabatnya di sini hari ini.
Seperti kelaziman, Sidang DUN juga boleh diikuti secara langsung pada platform media sosial termasuk Facebook dan YouTube.
Jelas Saarani lagi, satu mesyuarat bersama pasukan keselamatan termasuk Majlis Keselamatan Negara (MKN) turut diadakann berikutan dewan akan besidang dalam fasa Kawalan Pergerakan Pelan Pemulihan Negara (PPN).
“Ia termasuklah bagi membincangkan ketetapan mengenai jumlah kehadiran dalam dewa, aspek penjarakan fizikal dan kedudukan tempat ADUN serta Prosedur Operasi Standard (SOP) berkaitan,” ujarnya.





