IPOH – Sebanyak RM7.86 juta nilai projek melibatkan 97 kerja akan diberikan secara undian terbuka kepada kontraktor dalam daerah Kinta yang berdaftar dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) G1 dan Kementerian Kewangan.

Sejajar dengan norma baharu maka cabutan undian telah diadakan secara langsung melalui Facebook Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) petang tadi bagi mengurangkan interaksi sosial serta mencegah penularan wabak Covid-19.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, pelaksanaan kerja undi ini juga akan meningkatkan intergriti MBI dalam proses perolehan kepada para kontraktor.

Menurut beliau, syarikat kontraktor yang layak terlibat dalam undian itu pula adalah dalam kod bidang seperti yang dinyatakan serta berdaftar di negeri Perak.

“Bagaimanapun, kontraktor yang telah mendapat kerja sehingga 22 Julai tidak akan terpilih dalam proses undi ini.

“Nilai perolehan kerja undi ini juga adalah di bawah RM100,000.00 sejajar dengan Pekeliling Perbendaharaan Malaysia (PK 2.2 - Kaedah Pelaksanaan Perolehan/Projek Kerajaan Tahun 2021) yang telah dikeluarkan,” ujarnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Peruntukan bernilai RM7.86 juta meliputi pelbagai kementerian dan agensi seperti Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan sebanyak RM895,000, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) RM66,000, Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) RM3.34 juta dan MBI (RM3.56 juta).

Ia melibatkan tujuh kategori kod bidang iaitu kerja-kerja kejuruteraan awam melibatkan 67 kerja, mengecat jalan (tujuh), mengecat bangunan (tujuh), penyelenggaraan bangunan (enam), membekal tanaman pokok (tiga), pengindahan kawasan (enam kerja) dan membekal kelengkapan kemudahan awam (satu).

Jelas Rumaizi lagi, penganugerahan kontrak ini diharap merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi negeri Perak bagi meringankan beban rakyat khususnya kontraktor G1 yang terkesan secara langsung dengan pandemik Covid-19 yang sedang melanda seluruh dunia.

Sebelum ini, makluman mengenai notis undi kerja-kerja ini telah dipaparkan melalui medium portal MBI, Facebook dan juga Tweeter.

Terdapat penyertaan kontraktor yang terpaksa ditolak, antaranya adalah disebabkan berdaftar dalam Gred G2 dan tiada bidang pengkhususan CIDB yang telah ditetapkan dan koding yang bersesuaian dengan KKM.