IPOH - Kes Covid-19 diramal meningkat di Perak dalam tempoh dua hingga tiga minggu lagi berdasarkan trend jangkitan wabak tersebut sejak kebelakangan ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, terdapat peningkatan kes jangkitan terutamanya kes-kes kategori 4 dan 5 yang memerlukan rawatan kritikal di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Menurut beliau, setakat 31 Julai lalu, terdapat 121 pesakit Covid-19 yang sedang dirawat di ICU dengan kadar purata tujuh hari penggunaan katil ICU melebihi 100 peratus.

"Sebuah Bilik Gerakan telah ditubuhkan bagi memastikan ketersediaan katil bagi merawat pesakit Covid-19 di negeri ini.

"Khusus bagi Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), sebanyak 223 buah katil wad dan 42 katil ICU telah dikhaskan untuk rawatan Covif-19," ujarnya menerusi hantaran dalam perkongsian di Facebook hari ini.

Dr. Noor Hisham telah melakukan lawatan kerja rasmi ke HRPB untuk meninjau kesiapsiagaan Jabatan Kesihatan Negeri Perak menangani pandemik Covid-19.

Hospital ini telah mula merawat pesakit COVID-19 mulai Januari 2020 yang lalu.

Dr. Noor Hisham juga turut melawat Hospital Taiping, Hospital Tapah dan Hospital Slim River.

Jabatan Kesihatan negeri Perak dengan kerjasama kerajaan negeri dan pelbagai agensi sedang giat melakukan persiapan bagi menghadapi peningkatan mendadak kes Covid-19 yang diramalkan berlaku dalam tempoh dua hingga tiga minggu lagi.