Rotary Fit Park di Taman DR Seenivasagam, daya penarik aktiviti riadah untuk warga Ipoh
- Details
- Saloma
- Hotel
- Hits: 1069
IPOH: Jika sebelum ini ramai yang tertumpu di Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz atau sinonim dengan nama Padang Polo, kini ada satu lagi lokasi menarik untuk dikunjungi pada waktu senggang.
Pelancaran Rotary Fit Park di Taman DR Seenivasagam atau Taman DR di sini dapat menjadi daya tarikan baharu untuk warga Ipoh khususnya membuat aktiviti riadah, di samping penambahan peralatan senaman.
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, projek itu merupakn kerjasama di antara Jabatan Landskap dan Rekreasi Majlis Bandaraya Ipoh; Yayasan Kelab-kelab Rotary Malaysia, pelajar MBA UKM Graduated School of Bussiness, Malaysia Medical Association Perak dan sumbangan korporat lain.
Rumaizi menambah, kos keseluruhan untuk taman kecergasan itu bernilai RM55,000.
"Kita pelbagaikan maksudnya kalau kita lihat di sini, ia berhampiran dengan Kinta Riverwalk. Kita ada alternatif lain, kalau orang ramai tidak mahu ke Padang Polo maka mereka boleh ke sini (Taman Dr.).
"Di sini akan jadi pusat tumpuan bukan sekadar sukan tetapi juga untuk riadah lain.
"Tentu saja Rotary Fit Park ini boleh menarik lebih ramai pengunjung ke sini, kerana kalau lihat dari segi permintaan dan kehadiran di padang-padang awam di Ipoh memang bertambah," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Rotary Fit Park di Taman DR Seenivasagam, di sini pada Isnin.
Hadir sama, mantan Presiden Kelab Rotary Greentown, Dr. Monesh Pilai, Presiden Kelab Rotary Greentown, K. Sangari dan Timbalan Dekan (Akademik) UKM, Dr. Mara Ridhuan.
Sementara itu, Dr. Monesh Pilai berkata inisiatif untuk mewujudkan taman kecergasan yang dilengkapi peralatan gym itu bermula setelah dia berkunjung ke Singapura baru-baru ini.
"Taman DR adalah salah satu daripada dua taman yang kerap dikunjungi oleh warga Ipoh, yang mana satu lagi di Padang Polo.
"Saya perhatikan taman ini kurang mendapat kunjungan orang ramai walaupun berada di tengah-tengah bandar.
"Ketika saya di Singapura baru-baru ini, saya dapati kebanyakan taman mempunyai kawasan peralatan gym luar dan digunakan sepenuhnya oleh orang ramai. Idea itu kemudiannya dipraktikkan di sini," katanya.
Jelasnya lagi, kelab tersebut juga telah menjalankan beberapa projek di taman itu antaranya membina kawasan perkelahan bagi kegunaan pengunjung, selain membaiki tandas awam.